Kuala Lumpur, 23 April — Polis menahan 22 lelaki dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap ‘Geng 18 Dato Suresh’ dan ‘Geng 21 Sunder’ dalam Operasi Cantas Sinecura di sekitar Puchong, Serdang, Kapar dan Klang, dua hari lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata mereka terdiri daripada 12 individu (termasuk ketua) ‘Geng 18 Dato Suresh’ dan 10 individu (termasuk ketua) ‘Geng 21 Sunder’.
“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek yang berusia lingkungan 35 hingga 48 tahun itu aktif dalam kegiatan kongsi gelap melibatkan pelbagai kes jenayah kekerasan seperti merusuh, pemerasan serta mendatangkan kecederaan”.
“Mereka mempunyai antara satu dan sembilan rekod kesalahn jenayah lampau seperti gaduh gempar, samun, dadah dan kesalahan lain di bawah Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Akta Jenayah 1959 (POCA),” katanya dalam jenyataan hari ini.
Huzir berkata operasi itu dijalankan ekoran satu video kejadian pada 25 Nov tahun lepas, yang tular di media sosial memaparkan sekumpulan lelaki (Geng 18 Dato Suresh) merusuh dan mencederakan mangsa di sebuah pusat hiburan di Brickfields, di sini.
“Dalam kejadian itu seorang anggota polis yang cedera kebetulan menjalankan tugas risikan di pusat hiburan berkenaan dikepung, ditengking dan dipukul oleh kumpulan itu,” katanya.
Sebelum itu dalam kejadian berasingan di Kapar, Selangor pada 21 Jan tahun lepas, sekumpulan lelaki (Geng 21 Sunder) bersenjatakan parang, kayu dan besi menyerang seorang mangsa hingga mendatangkan kecederaan yang serius.
“PDRM mengesan beberapa video klip yang menunjukkan tindakan ganas serta agresif kumpulan berkenaan dan mendapati terdapat 10 laporan polis dibuat melibatkan kumpulan itu,” katanya.
Beliau berkata penularan video0video itu menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
Menurutnya polis khusunya JSJ memandang serius tentang perkara itu dan tidak akan berkompromi dengan kongsi gelap atau gengsterisme yang melanggar undang-undang serta cuba mengganggu gugat ketenteraman awam. –BERNAMA
Credit : BERNAMA








