Pakar undang-undang Suaram, Sahshi Devan mendakwa polis mengingkari perintah mahkamah untuk membebaskan S Krishnan, sebelum ditahan di bawah Poca selama 21 hari sehingga 9 Oktober ini.
Kumpulan hak asasi, Suara Rakyat Malaysia mempersoalkan tindakan polis menahan seorang lelaki sebanyak enam kali dalam tempoh kurang sebulan tanpa alasan kukuh, termasuk penahanan terbaru di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).
Pakar undang-undang Suaram, Sahshi Devan berkata S Krishnan, 48, kali pertama ditahan polis di rumahnya pada 3 pagi 2 September lalu kerana disyaki terbabit dalam kes mencuri lori.
Beliau berkata, Krishnan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang sebelum dilepaskan, tetapi dia ditahan semula di balai sama mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana disyaki mencuri barang pembinaan.
Katanya, Krishnan pernah ditahan di Balai Polis USJ di Subang Jaya kerana disyaki mencuri kereta, tetapi sebuah mahkamah di Petaling Jaya menolak permohonan reman polis.
Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy mendakwa polis mengingkari perintah mahkamah untuk membebaskan Krishnan, sebaliknya menahannya semula di balai polis lain.
Devan berkata, Mahkamah Majistret Ampang juga pernah menolak permohonan reman ke atas Krishnan sebelum ini.
Terbaru, katanya, sebuah mahkamah di Shah Alam pada 19 September lalu membenarkan Krishnan ditahan di bawah Poca selama 21 hari sehingga 9 Oktober ini, tetapi ahli keluarga tidak tahu dia ditahan atas kesalahan apa.
“Mereka gagal mendapatkan bukti kukuh untuk mendakwa suspek ke mahkamah, malah untuk menyalahkan suspek. Ini jelas menunjukkan polis menyalahgunakan CPC (Kanun Acara Jenayah).
Bukan salah guna CPC saja, mereka juga menahan suspek di bawah Poca. Kalau ada bukti, dakwalah dia,
katanya kepada FMT selepas pertemuan keluarga Krishnan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia di pejabat suruhanjaya itu hari ini.
Sementara itu, peguam keluarga Krishnan, Ganesh Rau berkata, keluarga Krishnan beberapa kali menghubungi polis, tetapi mereka tidak dimaklumkan tujuan penahanannya.
Beliau berkata, keluarga lelaki itu juga terpaksa berulang-alik dari Selayang ke beberapa balai polis untuk mendapatkan maklumat mengenai penahanan Krishnan.
Katanya, Krishnan mendakwa didera dan diserang penyakit jantung ketika dalam perjalanan pulang dari mahkamah.
Doktor telah memberikan ubat, namun polis tidak serah kepada suspek.
Isteri Krishnan, Vijaya Devi mendakwa beliau tidak dibenarkan berjumpa suaminya, manakala penjelasan pegawai penyiasat mengenai status penahanan Krishnan pula kurang jelas.
Ada yang dapat cakap, mereka kata dah lepas tangan (kes). Saya pun tak tahu macam mana.
Credit : Free Malaysia Today








