Sebutan semula kes pengasas Sugarbook 15 Mei
Pengasas aplikasi Sugarbook Chan Eu Boon (tengah). - Foto fail AFP

KUALA LUMPUR: Waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Majistret Shah Alam terhadap pengasas aplikasi Sugarbook, Chan Eu Boon, kerana gagal menghadirkan diri untuk sebutan semula kes pada 26 Mac lalu, dibatalkan pada hari sama.

Peguam Eu Boon, T Shashi Devan, berkata terlepas pandang masa sebutan semula kes menerusi sistem e-filing mahkamah, mendorong kepada punca waran itu dikeluarkan.

“Saya bersama anak guam tiba di mahkamah berkenaan pada jam 10.30 pagi Jumaat lalu (26 Mac), kerana mengikut maklumat sistem itu, sebutan semula kes bermula jam 11 pagi.

“Namun, kami dimaklumkan anak guam dikenakan waran tangkap kerana prosiding mahkamah bermula lebih awal. Kami memberi penjelasan mengenai masa yang ditetapkan.

“Pihak mahkamah menerima perkara berkenaan dan waran dibatalkan pada hari sama. Anak guam akan hadir untuk sebutan semula kes pada 15 Mei ini seperti ditetapkan Majistret Sabreena Bakar @ Bahari,” katanya pada BH, hari ini.

Media melaporkan Majistret Sabreena Bakar @ Bahari mengeluarkan waran tangkap terhadap Eu Boon, 34, selepas dimohon pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asnaf Anuar Sharuddin, ketika ditemui pemberita dipetik memaklumkan pihak pembelaan sepatutnya hadir ke mahkamah untuk pengurusan dokumen.

Pada 24 Februari lalu, Eu Boon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyiarkan kenyataan bertajuk ‘Top 10 Sugarbaby University In Malaysia’ yang mengakibatkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga usahawan teknologi maklumat (IT) didakwa menyiarkan kenyataan itu dalam laman web pada jam 10 pagi 10 Februari lalu.

Kenyataan itu kemudian dilihat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada jam 6.26 petang hari sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah hingga kes selesai.

Credit : Berita Harian