Serang pemandu lori: Dua aktivis dipanggil polis

Dua aktivis politik hari ini dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis ekoran kenyataan mereka sebelum ini yang menuntut agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah kes serangan seorang pemandu lori di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Mohd Khalid Ismath dan Sharan Raj tampil memberi kerjasama dengan memberi keterangan ekoran laporan polis serta kenyataan yang dibuat pada 23 Januari lalu itu.

Kedua-dua mereka memberi keterangan selama kira-kira dua jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan disiasat di bawah seksyen 499/500 Kanun Keseksaan.

Mereka berdua diwakili tiga orang peguam iaitu Wong Kar Fai, Farida Mohammad dan Shashi Devan.

Selain itu, turut mengiringi mereka ke IPD Shah Alam ialah isteri Khalid bersama keluarga serta pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvam.

Sementara itu, selepas selesai memberikan keterengan, Khalid memberitahu bahawa beliau menjelaskan kepada pihak polis bahawa kenyataannya itu tidak berniat untuk memfitnah atau membuat tuduhan kepada pihak berkuasa berkenaan.

Sebaliknya, jelas beliau, apa yang dikatakannya hanya satu cadangan agar tindakan sewajarnya diambil terhadap individu yang menyerang Nasrul Faiz Zulfahmi.

“Saya tegaskan pada pegawai penyiasat tadi, saya nyatakan dengan tegas bahawa kita bukan memfitnah, kita bukan menuduh pihak polis.

“Kita hanya memberi cadangan dan bercakap sebagai seorang warga yang prihatin terhadap nasib yang menimpa negara kita sendiri. Jadi itu hanya cadangan biasa yang sepatutnya tak boleh dijadikan sebagai satu kes jenayah.

“Itu sahaja yang saya beritahu polis, yang lain saya akan cakap di mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memberikan kenyataan.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan, Khalid membuat laporan polis menuntut agar pihak polis menyiasat kes melibatkan seorang pemandu lori yang dibelasah di bawah seksyen lain yang memperuntukkan hukuman lebih berat dan menyebelahi orang yang dizalimi.

Dalam kejadian 14 Januari lalu, video menunjukkan Nasrul Faiz, 25, diserang empat lelaki tersebar secara meluas di Internet.

Nasrul berkata beliau dibelasah selepas lori dipandunya secara tidak sengaja melanggar kereta Mercedes-Benz yang diletakkan di situ.

Ekoran itu, empat individu telah didakwa di mahkamah kerana menyertai rusuhan yang boleh mendatangkan kecederaan di pos pengawal kondominium di Ampang pada jam 2.30 petang.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mac untuk sebutan semula kes.

Credit : Malaysia Kini